Kolaborasi UTHM dan GLEEA Memperkenalkan Budaya dan Negara Malaysia ke Jepun

Mobiliti CLS UTHM Jepun Anyaman.jpg

Aktiviti Pengenalan Budaya: Anyaman


EHIME, JEPUN – Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Global Education and Human Exchange Association (GLEEA) telah menganjurkan program “International Exchange Summer Camp for Japanese Elementary School Students 2019”. Program ini telah diadakan di Ozu National Youth House, Ehime, Jepun pada 16 – 18 Ogos 2019.

Program ini merupakan kali ke-empat dilaksanakan di Ozu, Jepun. Program kali ini melibatkan bilangan peserta yang paling ramai iaitu 34 orang pelajar sekolah rendah dari sekitar Kepulauan Shikoku, Jepun. Camp leader bagi program ini terdiri daripada dua orang pelajar UTHM yang telah mengambil kursus Bahasa Jepun, iaitu Irdeena Solehah binti Ibrahim dan  Kan Mei Ying dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan. Dua orang staf dari Pusat Pengajian Bahasa iaitu Pn. Hiyama Junko dan juga Pn. Siti Hajar binti Bidin turut serta dalam program kali ini.

Mobiliti CLS UTHM Jepun Ehime.jpg

Pelajar dan staf UTHM bersama dengan Pengerusi dan Pengarah GLEEA

Mengulas tentang keberkesanan program ini, Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Dr. Zailin Shah binti Yusoff berkata program antarabangsa seperti ini amatlah digalakkan. Ini kerana, di samping dapat memperkenalkan Malaysia ke peringkat antarabangsa, secara tidak langsung ianya mampu memartabatkan ilmu antara budaya dan bahasa dalam kalangan orang Malaysia dan orang Jepun.

Mobiliti CLS UTHM Jepun Batik.jpg

Aktiviti Pengenalan Budaya: “Batik Painting”

Sementara itu, Ketua Jabatan Bahasa Antarabangsa, Cik Nurul Sabrina binti Zan pula berkata program seumpama ini selain dapat mengeratkan hubungan antara UTHM dan GLEEA, ianya dapat memperkenalkan UTHM kepada negara luar khususnya negara matahari terbit ini.

Mobiliti CLS UTHM Jepun Sijil.jpg

Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil

En. Masaru Kono, Pengerusi GLEEA mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak UTHM kerana bersedia bekerjasama dengan pihak GLEEA dalam menganjurkan program ini. En. Kono juga turut berterima kasih kepada pihak Pusat Pengajian Bahasa kerana telah menyediakan pelbagai aktiviti dan bahan pengajaran yang menarik disepanjang program ini berlangsung. Beliau turut menyampaikan rasa gembira para ibu bapa kerana anak-anak mereka lebih bersemangat dalam mempelajari Bahasa Inggeris dan keinginan mereka untuk mengetahui lebih lanjut tentang Malaysia sangat tinggi selepas menyertai program,ini. Program kolaborasi dan perkongsian ilmu seperti ini juga sangat membantu kedua-dua pihak iaitu UTHM dan GLEEA dalam menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada, tambahnya lagi.

  • Hits: 71